Jiranku

WOUII  kini tampil dengan wajah baru dan produk-produk menarik untuk kegunaan seisi keluarga. WOUII juga membuka peluang perniagaan kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan produk jualan melalui pembelian secara borong bagi produk-produk yang dipaparkan di dalam online shop kami.

Klik di sini untuk maklumat lanjut. 

Jiranku…

 

14 April, 2019.  Di saat ini sahabatku menjadi balu. Luluh hati saya mendapat perkhabaran ini. Janda pernah menjadi status saya dan atas dasar apa sekalipun status itu lahir,  tiada siapa akan berasa kuat untuk menerimanya. Suami kesayangan sahabat saya ini bukanlah orang luar di sisi saya, tetapi jiran sewaktu saya kecil dahulu. Abang Jamil, mungkin saya tak pernah memohon maaf, tetapi saya tetap ingat dosa saya pada abang.

Abang Jamil merupakan ahli keluarga kepada seorang penyanyi 90-an yang amat terkenal satu masa dahulu. Abang Jamil duduk bersebelahan dengan rumah saya, menyewa dengan abang-abang bujang yang lain. Waktu itu, saya berusia 8 tahun. Kulitnya yang putih, tinggi lampai – sememangnya Abang Jamil adalah lelaki yang tampan sewaktu usia mudanya. Saya, selaku anak kecil; selalu bermain keluar masuk di rumah bujang mereka.

Pertama kali melihat sahabat saya di Facebook dengan gambar nikahnya, tergerak hati saya menyatakan bahawa suaminya seolah-olah seperti jiran saya satu ketika dahulu. Perasaan itu tidak pula pernah saya nyatakan kepada sahabat saya tersebut, tetapi sebaliknya saya simpan rapi sehinggalah pada suatu hari saya terlihat gambar penyanyi 90-an yang saya katakan tadi bersama sahabat saya. Tidak syak lagi! Dialah jiran saya; Abang Jamil. Saya lantas memberitahu sahabat saya mengenai hal tersebut. Bermula saat itu, saya menggelarnya jiranku.

Setiap kali ada kisah menarik yang berkaitan dengan sahabat saya suami isteri di laman Facebook, saya pasti akan meninggalkan komen mengimbau kenangan menjadi jiran kepada suaminya. Dan yang paling kerap kami bahas dan bahan adalah susuk tampan Abang Jamil. Saya sering mengiyakan Abang Jamil bila dia bergurau dan menyatakan dia muda-muda dulu handsome. Memang handsome dan baik orangnya, masyaAllah.

Sejak saya kecil hingga sekarang, ada suatu insiden yang pernah di rumah dahulu yang membuatkan saya sentiasa rasa bersalah. Pada waktu itu, saya berusia 8 tahun. Entah syaitan apa yang merasuk saya pada masa itu, saya selalu melemparkan kata-kata jahat kepada Abang Jamil. Kononnya dia tidak ke masjid, tidak solat, orang jahat dan macam-macam lagi. Saya lakukan hal itu setiap kali Abang Jamil berjalan memasuki rumahnya.

Artikel dan gambar ini telah dibenarkan untuk dikongsi setelah sahabat saya membuat bacaan-pruf. Terima kasih kalian berdua.

Sehinggalah sampai satu hari, Abang Jamil hilang sabar. Dia yang sedang berjalan memasuki rumahnya, berang dan terus mengambil selipar dari sebelah kakinya dan mengacah untuk membaling selipar tersebut ke arah saya. Dalam pada itu dia terus menerus memarahi saya. Merah padam wajahnya yang putih itu. Saya yang kecil ini barulah sedar diri setelah dimarahi sedemikian. Barulah sedar saya ini cuma budak kecil berusia 8 tahun yang solat sendiripun masih belum lengkap untuk menegur solat orang lain.

Peristiwa itu kekal di dalam hidup saya – tentang betapa berdosanya kita manusia menilai orang lain tanpa melihat kesalahan diri sendiri. Sentiasa saja peristiwa itu bermain di fikiran saya dan menjadi peringatan untuk tidak melulu mencari kesalahan orang lain. Setelah sekian lama tidak bertemu sahabat dan jiran saya tersebut, saya menjemput mereka suami isteri menghadiri walimah saya. Untuk memastikan sahabat saya ini benar-benar hadir, saya telah menempah kek perkahwinan saya dengan sahabat ini. Jadi, tiada peluanglah dia untuk tidak hadir.

Alhamdulillah, sejurus kami sampai di ruang acara resepsi, saya melihat sahabat saya suami isteri baru saja sampai dan sedang melihat-lihat kawasan untuk meletakkan kek tempahan kami. Alhamdulillah, syukur. Dalam hati saya, saya berniat untuk meminta maaf kembali pada Abang Jamil mengenai peristiwa tersebut. Dulu saya anak kecil, saya tak faham bahasa dan tak tahu baik buruk. Kini saya sudah dewasa dan yang lebih penting, saya faham apa itu erti dosa pahala dan keberkatan hidup, jadi saya ingin memohon maaf.

Malangnya, keceriaan pada Abang Jamil yang saya bawa berjumpa ibu bapa saya pada masa  itu telah memadam niat di hati ini. Keceriaan mereka dapat bertemu kembali setelah sekian lama menjadikan saya rasa tak sedap hati untuk membuka cerita yang kurang enak, sungguhpun cerita itu peristiwa sewaktu saya masih mentah.

Kemudian, sewaktu saya melancarkan buku saya berjudul The Deserted Wife, sahabat saya ini ingin mendapatkan senaskah. Dek kerana keenakan kek pandan sahabat ini, kami sama-sama deal untuk buat barter-trade. Saya beri dia buku percuma dan dia buatkan saya kek sesuai dengan harga buku saya. Kami sama-sama setuju dan bergelak ketawa dengan deal kami. Seperti yang dipersetujui, hari yang bertukar barang pun menjengah kami. Saya beri alamat kepada sahabat saya dan tidak lama kemudian mereka suami isteri pun sampai di perkarangan rumah.

“Aku nampak jiran aku!!!” tulis saya membalas WhatsApp sahabat saya yang memberitahu bahawa mereka sudah sampai.

Saya dengan berasa kelakar dan seronoknya bergegas memakai jubah dan turun ke perkarangan rumah. Dalam keceriaan itu, saya berazam untuk tidak lagi membuang masa dan terus mahu memohon maaf. Apapun, saya perlu melepaskan tekanan di dada. Allahu akbar. Perkara itu tidak semudah perancangan saya.

Turun sahaja, saya terus di sapa jiran lama saya; Abang Jamil.

“Assalamualaikum, jiranku!” Teriak dia dari jauh.

“Waalaikumsalam, jiranku!” saya tergelak bila dia yang menyebut perkataan jiranku itu.

“Macam-macam kau gelar aku, ye?” kata Abang Jamil.

“Habis tu, dah memang jiran, panggil jiranlah,” sambung saya.

Abang Jamil terus berbual dengan saya dan kemudian barulah saya dan sahabat saya berbalas sembang. Di celah-celah bualan kami Abang Jamil sempat bertanyakan suami saya dan saya hanya angguk sahaja. Mereka tak lama, saya pula tak dapat nak mengajak naik ke atas rumah kerana pada masa itu kami sedang bersiap untuk hantar anak yang nak balik kampung. Namun, Abang Jamil ada mengatakan sesuatu berulang-ulang kali sehingga saya terdiam dan keadaan itu memberi ruang untuk saya menyatakan apa yang terpendam di hati.

Katanya…

“Achik doakan kau berjayalah dunia akhirat dalam apa saja yang kau buat. Apa saja yang kau buat, Achik doakan.”

Tak kurang empat kali, itulah yang berputar-putar diucapkannya.

Satu ketika saya tergamam dan terdiam dan hanya melihat wajahnya dan sahabat saya.

“Sayapun nak minta maaf atas lebih kurang. Takut apa yang saya ambil melebihi dari apa yang saya beri,” saya mula berbicara.

Ya, saya sedang maksudkan kek tersebut. Saya risau kalau-kalau kos kek itu melebihi nilai buku saya. Abang Jamil terus saja bercakap dengan ceria dan kamipun bergelak ketawa sehinggalah kami bertiga bersurai. Sejurus melangkah ke rumah, hati saya terdetik, tak dapat lagi nak cakap direct.  Sedikit kecewa tetapi dengan ayat-ayat Abang Jamil itu, saya rasa seolah-olah dia langsung tiada dendam pada saya. Mungkin saja dia lupa kesalahan saya padanya, walhal saya tidak pernah lupa salah saya pada dia.

Dan kisah ini saya nukilkan pada tarikh ini – 14 April, 2019 sejurus saja sahabat saya mengesahkan bahawa suaminya, Abang Jamil telah kembali ke rahmatullah.

“Syeri, dia dah takde,” tulis kawan saya tiba-tiba.

Saya tanya, ke mana? Mulanya saya menyangka Abang Jamil tiba-tba buat hal dan meninggalkan sahabat saya, rupa-rupanya dia telah pergi buat selama-lamanya. Maka, berakhirlah peluang saya untuk memohon kemaafan daripadanya. Allahu, saya orang yang berdosa. Saya amat kesal saya tidak menyegerakan permohonan maaf saya walhal Allah telah memberi saya peluang itu beberapa tahun sebelum ini dan menemukan kami sebanyak dua kali sebelum Abang Jamil pergi. Saya berasa amat berdosa.

Malamnya saya tanyakan kepada sahabat saya jika dia memerlukan saya untuk hadir di sisinya pada esok hari sewaktu urusan jenazah. Kawan saya jawab ringkas:

Pleaseeeee….kalau suami you izinkan.”

Ya Allah.

Sedihnya permintaan itu. Bukan sahaja kerana mengenangkan dia sahabat, bukan sahaja kerana mengenangkan dosa saya yang tergantung dengan si arwah Abang Jamil, tetapi kerana sedihnya kehilangan suami Allah sahaja yang tahu. Saya turuti permintaan itu keesokkan harinya selepas suami saya memberi kebenaran. Malah, suami juga sempat menitipkan salam kepada sahabat saya dan memohon maaf kerana tidak dapat hadir. Saya dan salah seorang anak perempuan saya tiba di masjid lebih awal dari jenazah.

Setibanya jenazah, saya turun dari tangga dan melihat pintu belakang van jenazah telah terbuka menandakan jenazah telah diturunkan ke dalam masjid.

“Allahu akbar. Yang naik kereta jenazah hari ini adalah Abang Jamil, jiranku,” desis hati saya.

Sedihnya hati mengenangkan gelak ketawa kami pada perkataan jiranku itu kini tiada lagi. Malah, tiada apa lagi hendak dikaitkan dengan perkataan itu. Berpaling dari van jenazah tersebut, telah kelihatan bulatan manusia yang berdiri mengelilingi sejalur bekas yang di atasnya bertutup dengan kain batik pink. Di satu sudut 3 wanita, kesemuanya berbaju hitam sedang menangis. Saya terus pergi membuat sedikit pusingan pada kumpulan manusia yang berdiri di situ dan melihat, benar. Di situ sahabat saya sedang menangis. Di situ saya terlihat raut ibu sahabat saya yang juga sama-sama menangis dan saya terkaku sejenak di situ.

Kesedihan benar-benar telah mula menyelubungi saya. Inilah manusia yang saya hutang permohonan maaf darinya tetapi dialah yang pergi dengan kata-kata yang sangat indah untuk saya. Itulah sekujur tubuh yang berulang kali menyatakan doanya untuk kejayaan saya. Melihat sahabat yang sedang menangis di sisi suaminya melemahkan kaki saya. Adakah satu hari nanti hal ini berpindah kepada saya pula? Ya Allah, sedih dan takutnya. Segera saya merapatkan diri kepada sahabat saya dan memeluknya erat. Dalam dakapan itu, saya sempat melihat wajah arwah Abang Jamil. Allahu akbar, jiranku pergi dan aku masih belum sempat memohon maaf padanya.

Tiada apa yang boleh saya lakukan lagi. Untuk menceritakan hal ini kepada sahabat sayapun, saya tak mampu apatah lagi pada saat sebegitu. Mujur dengan kudrat Allah, Allah menggerakkan saya untuk memenuhi masa menunggu dengan membaca surah yasin. Kemudiannya, saya menyertai solat jenazah untuk arwah Abang Jamil.

Allahu. Benar mungkin inilah tarbiah untuk hati saya. Safnya cuma tiga baris dan empat orang wanita sahaja, tetapi saf para lelaki amat panjang pada hari itu.  Boleh jadi benar arwah Abang Jamil baik orangnya sehinggakan di saat kematiannya, seolah-olah semua yang datang menanti jenazahnya di masjid, tiada seorangpun yang tidak menyertai solat jenazahnya. Mungkin itulah yang Allah ingin tunjukkan kepada saya bahawa lelaki yang 20 tahun dulu saya ejek kerana tidak solat, sebenarnya ada amalan lain yang mengangkat maqamnya sehingga disolatkan sebegitu ramai dan disayangi.

Melalui sahabat saya, saya dapat tahu bahawa arwah Abang Jamil mempunyai sikap suka bersedekah. Sewaktu kita cuba mengelak dari peminta sedekah, rupa-rupanya arwah Abang Jamil pula akan panggil peminta sedekah datang kepadanya apabila dia nampak mereka duduk di stesen-stesen minyak. Kalau ada apa-apa yang dia dah book tetapi cancel last minute, dia tidak akan minta wang tersebut. Sebaliknya, berniat agar duit tersebut menjadi sedekahnya. Allahu, adakah kita seperti itu?

Beberapa malam lepas, melalui anak lelaki saya, saya dapat tahu bahawa salah seorang officemate anak lelaki saya adalah anak arwah Abang Jamil. Ya Allah, kami begitu akrab rupanya tetapi kami terlupa bahawa kami tidak dijanjikan hari esok. Semoga Allah mengampuni dosa kami dan dosa saya kepada arwah. Biarpun itu hanya celupar anak kecil, tetapi pasti ada sebab mengapa Allah menjadikan kepala dan hati saya ingat akan peristiwa ini sepanjang hayat saya, wallahualam.

 

Syeri 

Instagram: syarifah.hafsah
Newsletter: www.wouii.com

 

WOUII  kini tampil dengan wajah baru dan produk-produk menarik untuk kegunaan seisi keluarga. WOUII juga membuka peluang perniagaan kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan produk jualan melalui pembelian secara borong bagi produk-produk yang dipaparkan di dalam online shop kami.

Klik di sini untuk maklumat lanjut. 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

RELATED POST

Sepotong Ayat Dari Al-Quran : Menyampaikan Amanat Kepada Yang Berhak & Berlaku Adil

WOUII  kini tampil dengan wajah baru dan produk-produk menarik untuk kegunaan seisi keluarga. WOUII juga membuka peluang perniagaan kepada sesiapa…

Suamiku Bukan 5 Sen

WOUII  kini tampil dengan wajah baru dan produk-produk menarik untuk kegunaan seisi keluarga. WOUII juga membuka peluang perniagaan kepada sesiapa…

Sepotong Ayat Dari Al-Quran: Memohon Pertolongan Allah Dengan Sabar Dan Solat

WOUII  kini tampil dengan wajah baru dan produk-produk menarik untuk kegunaan seisi keluarga. WOUII juga membuka peluang perniagaan kepada sesiapa…

Ummu Hafsah

WOUII  kini tampil dengan wajah baru dan produk-produk menarik untuk kegunaan seisi keluarga. WOUII juga membuka peluang perniagaan kepada sesiapa…